Chong Wei yang sedang dalam misi mencari kejuaraan pertama selepas lapan bulan bermula cemerlang apabila mudah mengatasi halangan awal dengan menyingkirkan Hsu Jen Hao dari Taiwan 21-5, 21-7 dalam aksi 26 minit yang berlangsung di Fuzhou, hari ini. 

Tidak pernah meraih sebarang kejuaraan sejak memenangi gelaran All England keempatnya pada Mac lalu, pemain berusia 35 tahun itu akan sekali lagi bertemu Leverdez yang turut mara selepas menyingkirkan Sourabh Verma dari India dengan keputusan 21-14, 15-21, 21-11.

Chong Wei sebelum ini mencatat keputusan buruk dalam dua penampilan terakhir selepas tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Denmark dan pusingan pertama Terbuka Perancis, bulan lalu,

Di Odense, pemain No. 7 dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh H.S. Prannoy dari India, manakala di Paris dia tumpas kepada pemain sedang meningkat Jepun, Kenta Nishimoto.

Sementara itu, pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran pasangan Taiwan, Lin Xiao Mei-Wu Fang Chien 21-6, 17-21, 21-9.
Meng Yean mengakui, mereka sedang berusaha untuk melakukan kejutan bagi meraih keputusan lebih baik di China namun menyedari laluan yang bakal dihadapi bukan mudah.

“Untuk perlawanan hari ini memang kami sudah melakukan persediaan rapi dan hasilnya kami berjaya membaca strategi lawan kami pada set pertama dan ketiga tetapi pada set kedua kami beraksi dalam keadaan kurang selesa kerana mereka meningkatkan tempo permainan.

“Bagi perlawanan esok, kami akan cuba lebih fokus untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu campuran selepas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang turun sebagai pilihan kelapan dikejutkan dengan kekalahan 15-21, 9-21 kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

Turut tersingkir awal pasangan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang kalah sengit 20-22, 21-16, 19-21 kepada Takuro Hoki-Sayaka Hirota dari Jepun.